Rintih Alam
Kuselak jendela usia
menyelinap segala mukjizat
bersama alunan lagu indah
bagai bisikan mengkhayalkan
menduga teguh keimanan
Alam bagaikan hamparan
setitis kehebatan janji firadusi
Namun,
kerana serakah menggila
kerana onar syaitan bertahta
nikmat kasihnya dinodai
segar anugerah dicabuli
oleh buruan haloba
mencabar nilai hakiki
Pasrah aku..
dalam renungan lembah hijau
dicemari gondolan jingga
persihan air dari perut benua
diapung sisa-sisa bisa
tanah terus diratah
merayu simpati manusia
putaran alam terpancung
oleh hentakan pedang khianat
mentera tiada lagi berguna
mengubati luka ini..
yang patah takkan tumbuh..
yang hilang tiada ganti...
Janganlah
kerana amukan kemajuan
khazanah dicungkil
warisan di gadai
darah bumi bukan harta pertaruhan
membina tamadun hanyir
dari tulang belulang kerakusan
alangkah
bebunga tiada lagi berkembang
burung hilang suara kicauan
pungguk tidak dapat rindukan bulan
Dengan rafak syukur..
rentangkan suara kudus..
memohon dari Maha Pencipta..
peliharakanlah warisan buana
bersama gemersik seruling alam
merdu dan syahdu
agar tiada lagi rintihan pilu dan sayu..